Kehidupan sebagai seorang pelajar pastilah tidak dapat lari daripada peperiksaan. Apabila menyebut tentang peperiksaan, tidak dapat tidak, keputusan peperiksaan amatlah dititikberatkan. Sudah menjadi lumrah, yang mendapat markah tinggi itu bersalut kegembiraan dan mereka yang mendapat markah rendah berselubung duka.
Setelah keputusan peperiksaan keluar, terdapatlah beberapa orang pelajar yang tidak mendapat markah yang diharapkan. Selepas selesai bermuhasabah, maka mereka berpendapat, belajar bukan kerana Dean list, tetapi belajar kerana Allah. Sekali saya memandang seperti tidak ada yang silap.
Ya, benar! Belajar kerana Allah. Tidak ada yang silapnya di situ.
Matlamat yang disalahertikan
Bagi kebanyakkan pelajar tahun 1 di sini, dan saya percaya di mana-mana pun, semua orang akan meletakkan target, "Sekurang-kurangnya, Dean list". Saya juga pernah meletakkan target sedemikian.
Timbulnya pendapat seperti di atas membuat aku sedikit lega. Tak dapat Dean list pun tidak mengapa. Janji, aku belajar kerana Allah. Namun aku tertanya-tanya, salahkah belajar kerana Dean list? Tidak bolehkah kita belajar kerana Allah dan dalam pada masa yang sama mendapatDean list?
Pernah dikisahkan tentang seorang pemuda berperang kerana ingin mendapatkan bidadari. Maka timbul satu persoalan. Adakah dia berperang kerana Allah?
Ulama bersependapat mengatakan beliau berperang kerana Allah. Ini kerana, beliau yakin dengan balasan Allah janjikan iaitu balasan syurga dan bidadari. Berperang untuk menuntut janji-janji Allah.
Begitu jugalah dengan kita. Sunnatullah mengatakan mereka yang berusaha akan berjaya. Itu hukum alam. Syarat dan akibat. Mahukan akibat yang baik, ada syarat-syaratnya. Mahukan akibat yang kurang baik, ada syarat-syaratnya. Jadi bukankah mengejar kejayaan itu juga menunjukkan bahawa kita yakin dengan Allah? Percaya dengan sunnatullah?
Adakah mengejar kejayaan atau dalam konteks kita, Dean list adalah salah? Tidak kerana Allah?
Matlamat dan usaha
Tersebutlah kisah seorang pelajar yang terkejut dengan keputusan peperiksaan beliau. Maka terlintaslah dibenaknya, "Mesti aku belajar tidak ikhlas kerana Allah". Maka dibetulkan niatnya. Semester seterusnya keadaan yang sama berulang. Keputusan masih sama, tidak berubah. Maka hatinya berkata, "Mungkin aku tidak cukup ikhlas". Kehidupannya diteruskan seperti biasa. Tidak apa yang berubah.
Dimana silapnya?
Cara kita bermuhasabah. Muhasabah niat itu tidak salah. Cuma muhasabah niat sahaja tanpa diteliti usaha yang telah kita berikan itulah yang silap. Mungkin saja usaha yang kita letakkan sudah sangat hebat, sehebat rakan-rakan kita yang lain. Rakan-rakan yang cemerlang dan selalu mendapat tempat teratas. Tapi, cukupkah?
Manusia itu berbeza. Usaha yang perlu bagi mereka dan kita tidak sama. Andai masih gagal sedangkan sudah berusaha. Itu maknanya, usaha kita belum cukup. Masih ada ruang untuk berusaha.
Jangan sampai koreksi niat setiap hari , keputusan masih juga sama. Akhirnya Tuhan yang dipersalahkan. Usah kita lupa, sunnatullah yang Allah tetapkan. Kejayaan tidak datang tanpa usaha. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Kesimpulan
Mengejar kejayaan itu tidak salah. Malah Islam sendiri menggalakan umatnya mengejar kejayaan dunia dan akhirat. Yang tinggalnya cuma, kenapa kita mahu berjaya. Niatlah kerana Allah kerana dengan itu segala benda yang baik dikira ibadah. Niatlah untuk mendapat kejayaan, kerana kita ialah umat yang Allah muliakan kerana Islam.
Biodata Penulis:
Muhammad Fahmi Bin Md Yusof merupakan pelajar perubatan tahun 2 di Jordan University of Science and Technology, Irbid, Jordan.
sumber: artikel iluvislam.com
Biodata Penulis:
Muhammad Fahmi Bin Md Yusof merupakan pelajar perubatan tahun 2 di Jordan University of Science and Technology, Irbid, Jordan.
sumber: artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment